By Sungai Rapat
on
Saturday, August 4, 2012
with
0 comments


Kira-kira 2,000 penduduk terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dalam kawasan DUN Sungai Rapat melahirkan rasa lega apabila masing-masing menerima bantuan kotak makanan sempena sambutan Aidilfitri yang disampaikan oleh wakil rakyat mereka, Dato’ Hamidah Osman di Arena Square, Batu Gajah pagi tadi.
Sumbangan bantuan kotak makanan berupa beras dan barangan dalam tin itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengotakan janji-janjinya dengan membantu penduduk miskin dan kurang upaya di DUN Sungai Rapat untuk bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh ceria.
"Sebagai Adun Sungai Rapat, apa yang saya harapkan sumbangan bantuan kotak makanan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan rakyat miskin dalam menyambut hari lebaran nanti.
"Inilah amalan tradisi kita kerajaan BN sejak dulu lagi yang sentiasa menepati janji dalam membantu rakyat miskin terutama ketika menyambut Aidilfitri,’’ katanya kepada Peraknews di Majlis Penyampaian 2,000 Kotak Makanan kepada penduduk miskin bagi DUN Sungai Rapat di Arena Square di sini.
Katanya, kesemua penduduk yang menerima bantuan kotak makanan ini mewakili peduduk dari 12 buah kampung dan taman-taman perumahan dalam DUN Sungai Rapat.
Hamidah yang juga Exco Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Perak berkata, memandangkan terdapat 40,000 pengundi dikawasa DUN Sungai Rapat, beliau akan berusaha membantu menyumbang bantuan makanan kepada pengundi-pengundi yang beragama Islam yang masih belum menerima bantuan itu.
"Pengundi di Sungai Rapat terdapat kira-kira 40,000 orang, hari ini saja kita dapat menyumbang 2,000 kotak makanan kepada penduduk miskin dan kurang upaya,’’ katanya.
Sementara itu beberapa orang penerima bantuan kotak makanan tersebut yang ditemui dengan wajah gembira melahirkan rasa lega sambil berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan dimasa-masa akan datang terutama ketika menyambut Aidilfitri.
Bagi Jamal Yusof, 54, dari Taman Lembah Permai, beliau gembira kerana bantuan kotak makanan ini dapat meringankan beban belanja keluarganya terutama ketika membuat persediaan menyambut Aidilfitri ini.
"Pemberian kotak makanan ini bukti kerajaan BN hari ini tidak pernah menyisihkan penduduk miskin seperti saya malah dapat membantu meringankan beban mereka,’’ katanya.
Seorang Pengawal keselamatan, Jamaluddin Darus, 48, dari taman yang sama beliau menyambut baik pemberian bantuan seperti ini kerana ia membantu meringankan beban belanja rakyat miskin ketika menyambut Aidilfitri.
"Terima kasih YB Dato’ Hamidah diatas bantuan kotak makanan ini semoga YB terus memberikan bantuan seperti ini dimasa-masa akan datang,’’ katanya.

Bagi warga emas Mat Johor Samsuddin, 75, yang patah kaki kanannya akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini turut melahirkan rasa gembira kerana bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban belanja keluarganya.
"Walapun kesemua 9 anak saya sudah berumah tangga namun bantuan ini dapat meringankan beban belanja buat saya dan isteri untuk menyambut Aidilfitri,’’ katanya dari Taman Seri Jaya.

Alang Halimah Ambon, 62, seorang ibu tunggal yang buta dan menetap di Kampung Ara Payung turut gembira apabila menerima bantuan kotak makanan itu dan berharap pemberian bantuan seperti itu dapat diteruskan dimasa depan.
"10 orang anak Mak Cik telahpun mempunyai keluarga masing-masing dan kini mak cik tinggal seorang diri di rumah alhamdullilah dengan bantuan makanan ini dapatlah mak cik buat persediaan menyambut Aidilfitri nanti,’’ katanya.
Category:
Hamidah
,
hamidah osman
,
sungai rapat
,
YB Hamidah
POST COMMENT
0 comments:
Post a Comment